KUALA LUMPUR – Seorang jurujual didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan melakukan penipuan dalam urusan menjual kenderaan membabitkan kerugian berjumlah RM37,977 kepada tiga individu.
Tertuduh, Muhammad Saleh Masron , 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di tiga mahkamah berasingan.
Mengikut fakta kes, dalam pertuduhan pertaman, tertuduh didakwa telah menipu
wanita yang merupakan kakitangan Spa Habibah Mokhtar, 22, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan jual beli kereta jenis Perodua Myvi dengan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM13,000.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Saleh dituduh menipu eksekutif kanan syarikat, Farah Nornadiafatin Adzman Ali, 34, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa tertuduh boleh membekalkan kereta untuk dibeli dengan mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM10,000 kepadanya.
Tertuduh turut didakwa menipu seorang pakar bius Institut Jantung Negara, Mohammad (IJN) Azlee Abdul Mutalib, 54, dengan memperdayakannya dalam urusan jual beli Perodua Myvi dan Axia dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM14,977.
Muhammad Saleh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.
Dalam pertuduhan pilihan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun.
Muhammad Saleh dituduh melakukan kesemua perbuatan itu antara 18 Ogos 2022 hingga 11 Mei 2023 di tiga lokasi berlainan iaitu di Perodua Sales di Kampung Baru; Perodua Jalan Raja Abdullah dan IJN di Jalan Tun Razak.
Kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nasuha dan didengar di hadapan Majistret Mageswari Subramaniam dan Nurul Izzah Shaharuddin.
Ketiga-tiga majistret membenarkan wang jaminan berjumlah RM8,500 dikenakan kepada tertuduh dengan seorang penjamin setelah memngambil kira alasan yang diberikan tertuduh bahawa beliau yang merupakan ketrua keluarga perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah selain isterinya yang merupakan suri rumah mempunyai masalah kesihatan.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos, 14 Ogos dan 17 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes serta lantikan peguam oleh tertuduh. – MalaysiaGazette