Gambar hiasan

LATIHAN industri telah menjadi komponen penting dalam pendidikan tinggi untuk memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar dan meningkatkan kebolehpasaran mereka di dunia kerja. Namun, masih ada beberapa isu yang perlu diperhatikan untuk memastikan keberhasilan program latihan industri ini. Latihan industri bukanlah suatu perkara yang baru dijadikan keperluan untuk memberi pelajar peluang pembelajaran di dunia pekerjaan sebenar . Merujuk kepada Dasar Latihan Industri Negara yang diterbitkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada 2010, latihan industri adalah penempatan pelajar di sesebuah organisasi untuk menjalankan latihan praktikal yang diselia dalam industri yang dipilih.

Tujuannya adalah untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk menerima pengalaman praktikal dan meningkatkan nilai kebolehpasaran mereka. Tempoh latihan industri adalah bergantung kepada program pengajian dan juga Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang melaksanakannya. Kebiasaannya tempoh terkumpul bagi latihan industri adalah tidak kurang daripada tiga bulan atau tempoh yang ditetapkan adalah bergantung kepada mana-mana badan profesional yang mempunyai kuasa memberikan akreditasi.

Salah satu manfaat utama dari latihan industri adalah melahirkan graduan yang kompeten. Melalui latihan ini, pelajar dapat mempelajari amalan yang diperlukan dalam dunia pekerjaan sebenar. Selain itu, pelajar juga diberi pendedahan yang lebih mendalam terhadap teknologi terkini yang tidak disediakan oleh institut pendidikan tinggi, sekali gus membantu mereka supaya relevan di dunia pasaran kerja yang terus berkembang. Tiada elaun atau penempatan adalah perkara lama yang baru pukulan gendangnya didengari. Kewajaran pelajar untuk membuat pertimbangan sebelum memilih tempat adalah langkah pertama yang perlu pelajar sendiri perhalusi. Pelajar perlu bijak dalam mengatur gerak untuk memastikan kos sebagai pelatih industri tidak terbeban. Pelajar perlu meneliti tawaran daripada syarikat berkenaan adakah ianya sesuai dengan kos sara hidup, kos penempatan dan kos pengangkutan.

Meskipun, perkara pemberian insentif elaun ini belum lagi diwajibkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyarankan untuk pihak industri memberi imbuhan insentif kepada pelatih. Adalah seharusnya menjadi budi bicara pihak organisasi yang menerima pelatih untuk memberi perhatian ke atas elaun sara hidup sebagai sumbangan bantuan. Ini juga adalah peluang kepada pihak industri bagi menzahirkan tanggungjawab dalam menghargai nilai dan usaha pelatih. Kerisauan disalah gunakan sebagai tenaga kerja oleh pihak industri sememangnya wujud. Namun perkara yang sama juga adalah dilema untuk pihak industri mencorakkan pelajar yang masih segar dengan teori serta kurangnya kemahiran untuk diberikan tanggungjawab dalam menggalas tugasan. Penyalahgunaan tenaga pelajar latihan industri adalah kes terpencil. Namun, situasi sebegini bukanlah dipandang enteng, sekiranya berlaku, pelajar mempunyai saluran khas untuk membuat laporan kepada pihak IPT.

Amalan latihan industri seharusnya adalah menang- menang untuk kedua-belah pihak. Industri menawarkan kemampuan dalam teknologi dan gerak kerja secara profesional, manakala IPT menyediakan ruang masa untuk tenaga kerja berpotensi di dalam pemantauan tempoh latihan industri untuk kelansungan syarikat di masa hadapan. Industri dan universiti adalah sebuah kitaran ekosistem yang saling memerlukan. Di sisi lain, kerajaan wajar menyemak kembali Dasar Latihan Industri Negara 2010 bagi memastikan kelansungan program ini sesuai dengan keperluan dan peredaran zaman dalam menjamin perlindungan di bawah akta berkaitan, supaya segala sudut pandang memberi kelebihan kepada semua pihak yang terlibat.

Secara keseluruhan, latihan industri adalah langkah penting dalam mempersiapkan pelajar untuk memasuki alam pekerjaan. Pelajar juga harus cekal dan tidak terlalu manja ketika bekerja, kerana pengalaman itu sentiasa mendewasakan kita. Elaun jangan dipandang sebagai pendapatan, ilmu bermanfaat itu yang harus dipegang sebagai bekalan masa hadapan. Belajar duduk didalam cara kerja organisasi yang memupuk kemahiran insaniah dan komunikasi yang membina keyakinan dan pembangunan diri. Pelajar harus menjaga tatacara juga segala maklumat sulit organisasi. Anda mewakili imej institusi, baik dan buruk anda semasa di organisasi syarikat merupakan cerminan institusi. Kesemua pemegang taruh juga perlu menerima bahawa jika sesuatu yang norma itu harus diubah, maka sampai masa mesti diakui ia perlu berubah sesuai dengan keperluan penambahbaikan.

Ts. Ahmad Anwar Safwan Sidek
Felo Industri
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn