Anwar Ibrahim.-Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – MCA dan MIC tetap akan menyokong Kerajaan Perpaduan meskipun kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu mengumumkan tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Perkara itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimaklumkan oleh Presiden MCA dan MIC yang menghubunginya.

“Kedua-dua presiden MIC dan MCA ada hubungi saya dan menyatakan bahawa pada peringkat ini mereka tidak menyertai PRN.

“Tetapi, mereka akan memberikan sokongan dan saya fikir itu dalam ruang kuasa Barisan Nasional.

“Saya ucap terima kasih kerana kesetiaan mereka membantu dan masih mempertahankan kedudukan Kerajaan Perpaduan,” katanya yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 di sini, hari ini.

Anwar menjawab pertanyaan pemberita berhubung tindakan kedua-kedua parti itu apabila menegaskan tidak mahu bertanding pada PRN tersebut.

Semalam, MCA dan MIC dilapor membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN yang akan berlangsung di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon manakala, MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji komponen BN itu akan tetap diberikan kerusi untuk bertanding pada PRN akan datang.

Bagaimanapun, MCA dan MIC kemudiannya membuat keputusan sedemikian. – MalaysiaGazette