KLANG – Buat julung kalinya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mewujudkan Pusat Dialisis untuk pesakit buah pinggang dalam kalangan orang berinsurans (OB) di bawahnya.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pusat dialisis berkenaan membantu OB dapat menjimatkan perbelanjaan kos rawatan dialisis yang mencecah sehingga RM200 hingga RM400 setiap sesi dan mencecah RM2,000 sebulan.
“Langkah ke arah betul bagi menjimatkan perbelanjaan yang ditanggung PERKESO yang mana hasil penjimatan tersebut boleh disalurkan semula kepada OB dalam bentuk faedah lain.
“Penjimatan ini bukan kerana Perkeso mahu kaut keuntungan. Ini adalah khidmat yang boleh menjimatkan OB,” katanya ketika sidang media.
Terdahulu Sivakumar merasmikan Pejabat Perkeso Klang dan Pusat Dialisis Perkeso (Cawangan Klang).
Menurut beliau, kos yang ditanggung Perkeso bagi membiayai rawatan dialisis kepada pencarum telah meningkat setiap tahun apabila kemudahan dialisis diperkenalkan pada tahun 1999, kos yang ditanggung PERKESO adalah 1.12 juta ringgit. Sejak itu, kos terus meningkat kepada 334.67 juta ringgit pada tahun 2022 dan ianya dijangka akan mencecah lebih 0.5 bilion ringgit dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut Sivakumar, Perkeso membelanjakan RM334.7 juta pada tahun 2022 untuk menanggung kos dialisis OB di bawahnya berbanding RM1.12 juta pada tahun 1999.
Peningkatan itu berlaku sejak Perkeso menyediakan khidmat pusat dialisis di hospital panel pada 1999.
Sivakumar menjangkakan kos dialisis akan terus meningkat sehingga RM500 juta menjelang 10 tahun lagi.
Sehubungan itu, tambahnya, Perkeso berhasrat membuka lebih banyak pusat dialisis di cawangan lain pada masa akan datang.
Sehingga kini terdapat enam buah mesin yang beroperasi di Pusat Dialisis Perkeso Klang yang akan bakal memanfaatkan oleh 25 pesakit buah pinggang setiap hari. -MalaysiaGazette