KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal menyemak keputusan Mahkamah Majistret yang menolak permohonannya bagi mendapatkan perintah reman terhadap seorang ketua polis daerah (OCPD) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM1 juta.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz memutuskan keputusan tersebut selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.
Jelasnya, tiada keperluan untuknya menyemak keputusan tersebut kerana Majistret tidak terkhilaf kerana bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang memutuskan bahawa Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 juga adalah betul kerana ia merupakan keputusan terkini.
“Keputusan mahkamah tidak membenarkan reman dibuat ikut Seksyen 117 kerana SPRM harus menggunapakai Seksyen 49 SPRM. Mahkamah Majistret Kuantan harus mengikut keputusan Mahkamah Tinggi tersebut berdasarkan Doktrin Stare Decisis,” kata hakim.
Doktrin Duluan Mengikat’ atau ‘stare decisis’ adalah suatu kaedah yang mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikuti oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan terdahulu itu betul atau sebaliknya.
Permohonan semakan itu dikemukakan oleh SPRM yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif.
Manakala peguam, Datuk Bob S Arumugam mewakili Ketua Polis Daerah selaku responden dalam permohonan tersebut.
Untuk rekod pada 15 Mei lalu Mahkamah Tinggi Temerloh memutuskan SPRM tidak boleh bergantung kepada Kanun Prosedur Jenayah untuk menahan reman suspek bagi tujuan penyiasatan.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret menolak permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang dikemukakan SPRM terhadap responden memandangkan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam pada 7 Jun lalu, menurut hujah timbalan pendakwa raya.
Rifah Izzati ketika berhujah mendakwa Mahkamah Majistret terkhilaf semasa menolak permohonan reman oleh SPRM di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) terhadap KPD itu dengan alasan terdapat peruntukan khusus di bawah Seksyen 49 Akta SPRM (ASPRM) 2009 bagi mendapatkan perintah reman.
SPRM menahan seorang Ketua Polis Daerah Pahang pada 6 Jun lalu kerana disyaki menerima rasuah dianggarkan lebih RM1 juta sepanjang tempoh antara 2017 hingga 2022.
Dia didakwa menerima rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan dan pusat urut. – MalaysiaGazette