KOTA TINGGI – Kerajaan Johor akan dijadikan lokasi pelancongan sukan di negeri ini.
Untuk itu, pelbagai perancangan sedang difikirkan termasuklah menganjurkan beberapa kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, termasuk sukan yang berkaitan dengan aktiviti berbasikal.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata, perancangan berkenaan akan dimulakan pada tahun depan dengan kerjasama Kumpulan Prasrana Rakyat Johor (KPRJ).
Untuk permulaan, perancangan itu membabitkan penganjuran Tour de Johor dan Johor Bike Festival.
Beliau yakin pelaksanaan itu mampu menarik pelancong dari dalam dan juga peringkat antarabangsa dalam pemganjuran yang dilaksanakan kelak.
“Untuk tujuan itu kita telah menghantar beberapa kertas kerja kepada Menteri Besar Johor, serta mengalu-alukan penganjur sukan termasuk peringkat antarabangsa yang mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjayakan program pelancongan sukan di negeri ini.
“Selain penganjuran sukan, kerajaan negeri akan menitik beratkan limpahan ekonomi setempat, yang mana pelancongan sukan ini akan melibatkan keseluruhan daerah di Johor,” katanya kepada pemberita selepas Makan Malam L’Etape Johor 2023, malam tadi.
Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Muse Group Asia, Riduwan Matni.
Kerajaan Johor turut merancang menjadikan penganjuran L’Etape Johor sebagai acara tahunan agar ianya menjadi satu ‘simbol’ pelancongan sukan yang mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung.
“Kita juga akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memperomosikan sukan pelancongan di Johor, serta terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Belia Johor, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan turut membantu kejayaan pelancongan sukan negeri Johor dengan membabitkan golongan belia terutama golongan muda.
“Sebagai contohnya, pada kejohanan L’Etape Johor 2023 ini, saya sendiri akan menyertainya dan berharap ianya akan berjalan dengan lancar serta menjadi satu acara atau kejohanan sukan yang dinanti-nantikan setiap tahun,” katanya.-MalaysiaGazette