KUALA LUMPUR – Putrajaya perlu bertindak segera memulihkan keyakinan antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia dalam usaha meredakan penyusutan nilai ringgit.
Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali berrkata, Malaysia mesti menjadi antara destinasi pelaburan global yang berkualiti.
Menerusi hantaran di Facebook, pakar ekonomi itu menambah, trend kejatuhan nilai ringgit bermula sekitar bulan April tahun 2022.
Pada 6 Julai lalu, ringgit mencecah sekitar RM4.66 per dollar Amerika Syarikat (AS) , menurun sebanyak hampir 12% sejak Januari 2022 dibanding dengan 2018, ringgit telah menyusut sebanyak 16%.
Beberapa mata wang negara jiran juga menyaksikan penyusutan.
Sejak Januari 2022, won, peso, baht, rupiah, semua menurun sebanyak 10.2%, 8.0%, 7.1%, dan 4.0%, namun lebih rendah berbanding kejatuhan ringgit.
Perbandingan dengan mata wang negara lain perlu ditakrif dengan berhati-hati kerana polisi bank pusat turut mempengaruhi nilai tukaran.
Sebagai contoh, Dolar Singapura tidak banyak berubah, hanya menyusut sebanyak 0.4%, berikutan polisi monetari Singapura yang menyasarkan kadar tukaran.
Nilai mata wang berubah berdasarkan status ekonomi sebuah negara berbanding negara mata wang tukaran.
Di samping itu, faktor-faktor khusus negara yang terlibat, kedudukan ekonomi global juga turut mempengaruhi pergerakan mata wang.
Noor Azlan menambah, dalam konteks ringgit berbanding dolar AS, polisi meningkatkan kadar faedah secara berterusan oleh Federal Reserve (Bank Pusat Amerika Syarikat) bagi menangani tekanan kadar inflasi yang tinggi telah menjadikan pulangan pelaburan di negara itu lebih tinggi.
Kadar faedah AS telah dinaikkan dari 0.08% kepada 5.08% dalam tempoh 16 bulan, menjadikannya lebih tinggi dari kadar faedah di Malaysia.
“Perbezaan kadar faedah Malaysia-AS telah beralih dari positif ke negatif pada September 2022 menyebabkan peningkatan aliran modal keluar dari Malaysia. Di samping kenaikan kadar faedah AS, kelembapan ekonomi global (diunjur 2.8% untuk 2023 berbanding 3.4% ditahun 2022) melemahkan perdagangan dunia dan mengesani permintaan eksport Malaysia.
“Ketidaktentuan geo-politik (Perperangan Ukraine-Rusia dan ketegangan hubungan AS-China) turut menyebabkan permintaan ke atas Dolar AS selaku mata wang ‘selamat’. Permintaan yang tinggi ke atas Dolar AS menaikkan nilai Dolar dan menyusutkan nilai mata wang dunia, termasuk Ringgit Malaysia. Selain dari polisi AS dan status ekonomi global, adakah penyusutan ringgit juga mencerminkan status ekonomi negara kita?,” soalnya.
Menurut Noor Azlan, sebahagian besar penganalisis melihat kepada pergerakan harian yang tertumpu kepada aliran keluar-masuk pelaburan jangka pendek, khususnya dalam pasaran kewangan.
Pergerakan jangka panjang nilai ringgit jarang dibincangkan, malah anjakan julat pergerakan ringgit memberi petanda penting ke atas status ekonomi negara dari persepsi masyarakat antarabangsa.
Sejak tambatan kepada Dolar AS ditamatkan pada Julai 2005, ringgit berada dalam julat RM2.9-3.8 per dolar AS selama hampir 10 tahun.
Kemudiannya bermula pertengahan 2015, ringgit berganjak ke julat yang lebih rendah iaitu RM3.8-4.6 per Dolar AS.
“Sewajarnya kita perlu memberi perhatian ke atas asas ekonomi negara dan tidak hanya menumpu kepada perubahan di Amerika Syarikat dan ekonomi global sebagai penyebab kepada penyusutan ringgit. Jawapan kepada penyusutan ringgit berkemungkinan besar berada di Putrajaya dari Bank Negara Malaysia,” tambahnya.
Kata beliau, daya saing negara jelas semakin menurun, berdasarkan penarafan dayasaing global IMD, Malaysia kini di berada ditangga ke 27 di dunia dari 63 buah negara, jauh lebih rendah berbanding 10 tahun yang lalu di tangga ke-15 (2013).
Dalam beberapa kategori seperti Kecekapan Perniagaan, Perundangan Perniagaan dan Bakat, kita berada di tangga 30-45.
“Walau apa pun hujah kita, kejatuhan daya saing mengesani persepsi global terhadap ekonomi kita. Kita perlu segera bertindak bagi memulihkan keyakinan antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia.
“Malaysia mesti menjadi antara destinasi pelaburan global yang berkualiti. Nilai mata wang boleh terjejas dan mungkin berganjak ke julat yang lebih rendah sekiranya persepsi ini berlanjutan.
“Jangan dibiar berterusan. Tangani segera kelemahan kita. Jangan bertangguh,” katanya. – MalaysiaGazette