Wan Salim.

GEORGE TOWN – “Amalan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah haram mengikut hukum syarat Islam namun bagi orang bukan Islam, tidak boleh dipaksa menerima hukum tersebut”.

Demikian jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tular dua wanita bukan Islam meraikan perkahwinan sejenis dipercayai berlaku di Balik Pulau di sini.

Jelas beliau, semua manusia di atas muka bumi ini patut menggunakan akal yang waras untuk membezakan antara perkara bermanfaat serta memudaratkan dalam melakukan sesuatu perkara.

“Bukan saja itu, manusia juga ada nafsu yang boleh menyesatkan dan membawanya ke arah keburukan sekiranya tidak dikawal dengan hukum agama dan peraturan moral.

“Bagi seorang Muslim yang taat, keimanannya kepada Allah SWT merupakan motivasi yang sentiasa mendorongnya menghormati hukum-hukum agama.

“Jika orang bukan Islam turut mematuhi hukum Islam dan peraturannya secara sukarela maka mereka juga diharap akan mendapat kebaikan daripadanya tetapi jika mereka tidak menerimanya maka mereka bebas dan tidak boleh dipaksa.

“Hukum syarak hanya mengikat umat Islam sahaja, orang bukan Islam tidak boleh dipaksa menerima hukum Islam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Wan Salim, Enakmen Pentabiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyatakan dengan jelas bahawa mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara berkaitan hukum syarak.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan mana-mana umat Islam yang terlibat di dalam aktiviti LGBT supaya segera bertaubat kepada Allah SWT dan berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan terkutuk itu,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

MAINPP siasat majlis rai pasangan sejenis di Balik Pulau

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku majlis meraikan perkahwinan sejenis membabitkan dua wanita di Balik Pulau yang tular media sosial.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menentukan kesahihan dakwaan mesej tular itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.