KUALA LUMPUR – Majoriti generasi muda hari ini memahami sejarah negara dan sangat menghargai apa sahaja perjuangan yang dibawa oleh pemimpin terdahulu.
Demikian reaksi Ketua Pemuda PKR merujuk kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa generasi muda hari ini tidak memahami sejarah negara dan perjuangan pemimpin terdahulu.
“Golongan muda pada hari ini sangat menghargai apa sahaja perjuangan dan sejarah negara yang dibawa oleh pemimpin terdahulu antaranya mencapai kemerdekaan, memajukan negara kerana kita tahu dan kita belajar sejarah maka kita faham bahawa kekuatan sesebuah negara ada sepenuhnya pada sikap toleransi saling bantu membantu dan paling penting sekali perpaduan antara kaum yang terbina hari ini.
“Kita belajar sejarah berkenaan dan apa yang telah dikecapi pada hari ini dan angkat nilai nilai tersebut dalam membentuk rakyat yang harmoni dan bersatu padu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan hari ini.
Sebelum itu, Adam hadir Sidang Media Kejohanan Korfball 2023 yang akan dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Nasional Shah Alam pada 8 hingga 13 Ogos depan.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menambah, salah satu perkara yang menjadi identiti bagi golongan muda pada hari ini adalah mereka sentiasa menghargai sejarah.
“Kita mahukan sebuah negara yang lebih majmuk dan maju dan sebab itulah kita perlu saling hormat-menghormati dan bekerjasama dan tidak ada prejudis antara satu sama lain selain kita faham kalau kita berpecah maka kita tidak dapat majukan negara,” tegasnya.
Semalam, Dr Mahathir berkata, agak sukar untuk menarik sokongan golongan muda untuk menyokong serta menandatangani Proklamasi Orang Melayu yang bertujuan menyatukan orang golongan itu melangkaui garis politik.
Bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana golongan orang muda tidak mengikuti sejarah negara serta perjuangan pemimpin terdahulu. – MalaysiaGazette