KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa menggalakkan pembangunan sukan yang sentiasa membantu ke arah mengurangkan perbezaan gender.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, salah satunya sukan korfball yang kini semakin digemari di mana sama konsep pertandingannya dengan sukan bola jaring dan keranjang..
Namun, katanya, struktur permainan itu sedikit berbeza dan tidak konvensional yang mana satu pasukan dianggotai kedua-dua lelaki dan wanita dalam sesebuah pasukan tersebut dengan kemahiran bertahap tinggi serta kecergasan pemain yang konsisten.
“Ini sememangnya sukan yang menggalakkan kita untuk mengurangkan jurang perbezaan antara lelaki dan wanita selain menggalakkan komunikasi serta memupuk nilai saling hormat menghormati.
“Di peringkat KBS kita memang menggalakkan anak muda Malaysia menyertai dalam sukan ini dan memang memberi perhatian yang sangat baik segi pembangunannya di negara ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau hadir menyempurnakan demonstrasi kejohanan antara Malaysia lawan Chinese Taipei menjelang Kejohanan Korfball IKF 21 Asia-Oceanic 2023 membabitkan 10 negara termasuk Malaysia pada Ogos ini di Kompleks Sukan Nasional Shah Alam.
Adam menambah, sukan Korfball berkenaan menerusi Persekutuan Korfball Malaysia memberi ruang luas menerusi Hari Sukan Negara 2022 dan inisiatif jitu itu akan diteruskan untuk memberi pendedahan kepada rakyat jelata negara ini.
Jelasnya, penyertaan ibu bapa dalam sukan itu menarik perhatian sekaligus menggalakkan anak-anak muda turus menunjukkan kecenderungannya terhadap sukan tersebut.
Terdahulu berucap di majlis tersebut, Adam memberitahu, sukan berkenaan memerlukan kerjasama berpasukan selain kemahiran individu untuk menang.
“Tidak ada sebarang keraguan yang mana sukan korfball mewakili senario sosial dan mempamerkan bagaimana sesebuah masyarakat harmoni perlu dibentuk.
“Oleh demikian saya sangat yakin sukan korfball khususnya menjadi salah satu platform yang mempromosikan kesamaan gender dan memperkasa wanita dalam sukan kerana ia penting memandangkan sukan yang memberi pilihan kesamaan gender adalah sangat terhad.
“Kita juga komited dalam menggalakkan penyertaan wanita dalam semua jenis sukan untuk mencungkil dan meningkatkan bakat dan kemahiran sukan kerana kebiasaannya lelaki selalu dikatakan lebih kuat dan berstamina berbanding wanita.
“Steriotaip itu perlu kita padam dengan menyediakan lebih banyak platform dalam sukan untuk wanita untuk mencapai gender bersama dalam arena sukan,” katanya.
Memandangkan sukan korfball sudah mula diperkenalkan dalam komuniti, Adam berkata, langkah perlu diperhebatkan lagi agar negara dapat mewujudkan komuniti yang sihat selain ia boleh menjadi medan untuk mengenal pasti bakat baharu untuk sukan berkompetitif. – MalaysiaGazette