Suspek wanita yang diburu polis dalam kes simbah asid ke atas pasangan suami isteri di Batu Caves pada 4 Julai lalu kini ditahan.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek yang diburu bagi membantu siasatan kes suami isteri cedera disimbah asid di Batu Caves dekat sini pada Selasa lalu akhirnya ditahan polis hari ini.

Suspek yang ditangkap seorang wanita warga emas berusia 60 tahun, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir.

“Suspek yang diburu polis sejak kejadian pada 4 Julai lalu dalam kes simbah asid ke atas pasangan suami isteri yang menyebabkan kecederaan manakala anak lelakinya terselamat itu ditangkap lebih kurang 4.20 petang tadi di Taman M Residensi Rawang,” katanya dalam mesej ringkas menerusi WhatsApp malam ini.

Tambah Noor Ariffin, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Selayang pukul 8.30 pagi esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Selepas memperoleh reman esok, polis akan meneruskan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian tersebut,” katanya.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan apabila siasatan selesai nanti kita akan merujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Pada 4 Julai lalu, sepasang suami isteri cedera manakala anak lelaki mereka terselamat apabila disimbah asid oleh seorang wanita semasa memasuki lif di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak.

Mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara asing berusia 37 tahun dan anak lelaki mereka berusia 14 tahun.

Menurutnya, suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

Justeru, rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian itu turut tular selepas dikongsi di media sosial baru-baru ini. -MalaysiaGazette