JOHOR BAHRU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan keluarga diraja Johor dua tahun lalu.
Tertuduh, Reymi Abdul Rahim, 43, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, VM Mabel Sheela.
Mengikut kedua kertas pertuduhan, Reymi secara sedar menerusi akaun Twitter telah membuat komunikasi jelik terhadap Sultan Johor dan keluarga diraja Johor dengan niat menyakiti orang lain.
Kedua-dua hantaran itu dibacakan pengadu pada 8 Oktober 2021, pukul 12 tengahari di sebuah pejabat di Kota Southkey Johor Bahru.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda 50 ribu ringgit atau penjara setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya seribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu selepas pensabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya.
Manakala tertuduh diwakili peguam, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nurhazneena Zureen Mohamad Hanafiah.
Pihak pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin dengan nilai RM20,000 bagi kedua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon agar jaminan dikurangkan kerana suspek tidak bekerja dan masih menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail kerana mempunyai schizophrenia with depression.
Mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM4,500 untuk dua pertuduhan, menyerahkan pasport antarabangsa dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.
Kes akan disebut semula pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.- MalaysiaGazette