Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih giat mengesan seorang individu yang didakwa ejen kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga mencetuskan kekecohan membabitkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, individu yang dikehendaki itu telah dikenal pasti sebagai seorang lelaki warga asing.

“Berdasarkan siasatan awal yang dijalankan SPRM, individu yang dilaporkan telah menerima bayaran sebanyak RM18,000 untuk membawa masuk wanita warga China menerusi KLIA adalah lelaki bukan warganegara Malaysia.

“Kita sudah mempunyai butiran mengenai individu warga asing yang giat dicari itu namun kita belum dapat mengesan kedudukan tepatnya pada masa ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkara berkaitan, kata Azam, pihaknya juga tidak mempunyai maklumat sama ada ejen terbabit masih di dalam negara ini atau di negara lain.

“Maklumat ini diperoleh daripada siasatan awal yang dijalankan oleh SPRM sebelum ini serta hasil rakaman percakapan daripada wanita warga China itu yang dikaitkan dengan kes ini.

“Berikan kami (SPRM) masa dan ruang yang secukupnya untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh mengenai kes ini,” katanya.

Terdahulu, King Sing yang didakwa menceroboh dan mencampuri urusan serta cuba menyelamatkan wanita China itu menyatakan bahawa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk negara KLIA sehingga ada yang meminta RM3,000 kepada pelancong untuk dibebaskan daripada tahanan.

King Sing mendakwa mempunyai pas khas untuk melawat dan meninjau kawasan KLIA dan mendakwa kehadirannya hanya untuk memahami situasi wanita itu yang didakwa telah ditahan sepanjang hari tanpa diberi makan dan minum.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut meninjau di kaunter Imigresen KLIA mengakui unsur rasuah di KLIA membabitkan pegawai penguatkuasa masih berlaku tetapi ianya adalah satu ‘budaya lama’ yang masih diteruskan oleh hanya segelintir pegawai penguatkuasa.

Selain SPRM siasatan kes berkenaan juga turut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Selangor dalam satu kenyataan pada minggu lalu mengesahkan setakat ini seramai 22 orang individu telah dipanggil dan dirakam keterangan dalam siasatan kes tersebut.-MalaysiaGazette