KUALA LUMPUR – Seorang doktor pakar sebuah hospital swasta dan seorang pesara jurutera menjadi mangsa penipuan dalam talian pelaburan wang kripto dan saham sehingga mengalami kerugian RM3.147 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kes pertama, seorang doktor pakar berusia 57 tahun telah membuat laporan polis di Ampang Jaya dan mendakwa telah ditipu suspek dalam pelaburan wang kripto.
“Siasatan mendapati mangsa telah berkenalan dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Profesor Kim So Young’ kononnya seorang warga Korea dalam talian melalui aplikasi sosial Linkedin.
“Suspek kemudian dikatakan telah menawarkan mangsa menyertai satu pelaburan yang dikenali sebagai Trading Crpytocurrency dan mangsa telah terpedaya dengan jerat suspek sebekum mendaftar melalui laman web http://www.ixtik.rest dan membuat akaun trading ID.
“Doktor pakar itu kemudian telah membuat 55 kali pemindahan wang atas talian ke dalam 37 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pembelian mata wang dolar USD Amerika untuk ditukarkan dalam bentuk wang kripto,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hussein, siasatan lanjut mendedahkan jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan oleh mangsa adalah berjumlah lebih RM2 juta sebelum menyedari dirinya ditipu setelah akaun pelaburan itu tidak dapat diakses selepas transaksi pemindahan wang selesai.
Suspek juga tidak dapat dihubungi lagi selepas itu.
Manakala dalam kes kedua, seorang bekas jurutera warga emas berusia 68 tahun telah membuat laporan kepada polis di Sepang mendakwa ditipu dalam pelaburan saham atas talian.
“Pada Mei lalu, pesara jurutera itu mengaku telah berkenalan dengan seorang perempuan bernama ‘Anna’ melalui aplikasi sosial Linkedin dan ditawarkan menyertai pelaburan saham dan dibawa masuk kedalam kumpulan WhatsApp bernama 1 Year 10 Times Wealth Club.
“Mangsa kemudian telah diminta suspek memuat turun aplikasi PSLUS untuk membuka akaun pelaburan dan membuat bayaran deposit sebelum terpedaya dan memindahkan wang deposit dalam 19 transaksi berjumlah RM1,052 juta ke dalam lapan akaun bank berbeza yang diberikan suspek bermula 15 Jun hingga 2 Julai lalu.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu suspek apabila pihak khidmat pelanggan tidak lagi menjawab mesej WhatsApp,” tegasnya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan pelaburan kripto, saham atau apa jua pelaburan dalam talian di media sosial terutama yang menawarkan pulangan keuntungan yang besar dan luar biasa dalam tempoh singkat.
Sebaliknya beliau menyarankan masyarakat agar membuat pelaburan di platform yang sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia. – MalaysiaGazette