Seorang warga emas maut akibat kereta terbakar selepas kemalangan di Jerantut hari ini - Gambar ihsan JPBM Pahang.

KUANTAN – Gagal memotong kenderaan di hadapannya menjadi punca sebuah Proton Exora dengan lima penumpang bertembung dengan sebuah lori lima tan di Kilometer 12 Jalan Jerantut-Maran (Sungai Salan), Jerantut tengah hari tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan, akibat kemalangan itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dilaporkan remuk di bahagian depan dan terbakar.

“Siasatan mendapati, MPV dipandu seorang wanita berusia 25 tahun bersama empat yang lain dipercayai sekeluarga dalam perjalanan dari Jerantut hendak ke Kota Gelanggi 1,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, sejurus sampai di tempat kejadian, pemandu MPV dipercayai gagal untuk memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

Akibat kemalangan tersebut, seorang warga emas berusia 83 tahun iaitu penumpang hadapan MPV itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain itu, ibu kepada pemandu berusia 48 tahun dan seorang lagi wanita berusia 25 tahun serta bayi berusia lima bulan yang menjadi penumpang belakang MPV dilaporkan cedera parah dan masih menerima rawatan di Zon Merah Unit Kecemasan Hospital Jerantut.

Katanya, pemandu lori yang berusia 45 tahun dan penumpangnya yang berusia 31 bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mazlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Seorang maut, dua cedera parah kereta bertembung lori 5 tan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast