Seorang maut manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan dinaiki mereka hangus terbakar dalam kejadian dekat Sungai Salan di Jalan Jerantut-Jengka hari ini.

KUANTAN – Seorang maut manakala dua lagi cedera parah apabila kenderaan dinaiki mereka hangus terbakar dalam kejadian dekat Sungai Salan di Jalan Jerantut-Jengka hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berpunca akibat kemalangan antara sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah lori.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 12.39 tengah hari tadi dan menggerakkan lapan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut ke lokasi.

“Sampai di lokasi didapati berlaku kebakaran kereta jenis Proton Exora akibat kemalangan dengan sebuah lori jenis Isuzu lima tan.

“Bagaimanapun, semua mangsa berjaya dibawa keluar sebelum pihak bomba sampai, namun kereta itu 100 peratus terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua wanita yang menaiki kereta itu dilaporkan dalam keadaan cedera parah menerima rawatan lanjut di hospital.

Manakala mayat lelaki yang maut akibat kemalangan  diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette