KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur di negara terus menurun pada Mei 2023 dengan merekodkan 584,600 orang dengan kadar pengangguran berada pada 3.5 peratus, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Daripada segi prestasi keseluruhan bagi Mei 2023, pasaran buruh dilihat terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil, mencerminkan peningkatan bilangan tenaga buruh berikutan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja.
Bilangan tenaga buruh pada bulan tersebut terus mencatatkan trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.86 juta orang (April 2023: 16.84 juta orang). Kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70.0 peratus seperti pada bulan sebelumnya.
Menurutnya, bilangan penduduk bekerja pada Mei 2023 meningkat secara berterusan, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.28 juta orang (April 2023: 16.25 juta orang).
Manakala, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.4 peratus kepada 584,600 orang (April 2023: 586.9 ribu orang), merekodkan kadar pengangguran 3.5 peratus.
Sebanyak 75.5 peratus daripada jumlah penduduk bekerja pada Mei 2023 adalah dalam kategori pekerja.
Kategori ini meningkat sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 12.29 juta orang (April 2023: 12.28 juta orang).
Penduduk bekerja sendiri turut mencatatkan peningkatan, dengan pertambahan sebanyak 0.5 peratus kepada 2.94 juta orang berbanding bulan sebelumnya (April 2023: 2.92 juta orang).
Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend positif dalam bilangan penduduk pekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan &
minuman; perdagangan borong & runcit; dan maklumat & komunikasi.
Trend yang sama dalam guna tenaga juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian serta pertanian.
Pada Mei 2023, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, yang merangkumi 80.5 peratus daripada jumlah penganggur, terus berada dalam trend menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 470,400 orang (April 2023: 471,900 orang).
Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 60.9 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.7 peratus.
Pada masa yang sama, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif, turut menurun sebanyak 0.8 peratus merekodkan 114,200 orang (April 2023: 115,100 orang).
Sementara itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.0 peratus dengan jumlah seramai 313,000 penganggur belia (April 2023: 11.1%; 315,600 orang).
Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 7.0 peratus, dengan 448,600 penganggur belia (April 2023: 6.7%; 441,000 orang).
Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mei 2023 berada dalam trend menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.23 juta orang (April 2023: 7.23 juta orang).
Kerja rumah/tanggungjawab keluarga merupakan komposisi utama luar tenaga buruh (43.7%), manakala kategori bersekolah/ latihan berada di kedudukan kedua dengan 40.2 peratus.
Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh pada Mei 2023, susulan ekonomi Malaysia dijangka berdepan cabaran berikutan kedudukan ekonomi global yang tidak
menentu, yang digambarkan oleh indikator Indeks Pelopor Malaysia pada April 2023, pasaran buruh juga dilihat akan berdepan dengan ketidaktentuan.
Oleh itu, tenaga buruh dijangka berkembang pada kadar yang sederhana dalam beberapa bulan yang akan datang. – MalaysiaGazette