PETALING JAYA – Dunia telah menyaksikan banyak krisis dan skandal yang membawa kepada akibat buruk gara-gara kegagalan dalam kepimpinan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, padahal rakyat mengharapkan pemimpin mereka melakukan kebaikan dan membantu mencapai lebih banyak lagi kejayaan.
Sebaliknya kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, rakyat sering melihat contoh di mana pemimpin telah mengecewakan apa yang diharapkan.
“Kita boleh membina kereta paling selamat di dunia tetapi ia tetap akan menyebabkan kemalangan jika kereta itu dipandu oleh pemandu yang melulu.
“Jadi kita perlu memastikan pemandu bertanggungjawab terlebih dahulu sebelum menyerahkan kereta kepada mereka.
“Dalam perjalanan ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kita mesti memastikan kita mempunyai pemimpin yang benar-benar komited kepada pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (UM LEAD) dan Program Kepimpinan Berprinsip serta Bertujuan anjuran Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Azizah berpendapat, agama memainkan peranan yang besar dalam hal kepimpinan.
Dalam Islam, jelas beliau, memungkiri janji dianggap sebagai salah satu dosa besar yang boleh dilakukan oleh seseorang.
Oleh itu pemimpin yang melanggar komitmen adalah berdosa, katanya.
“Komitmen tidak boleh hanya mengenai penunjuk prestasi utama (KPI) KPI dan ia mesti melampaui itu. Berapa kerapkah kita melihat tingkah laku beretika dan komitmen terhadap matlamat yang dibayangkan dalam SDG dan dimasukkan ke dalam KPI organisasi?
“Jika ada, ini biasanya dalam bentuk KPI yang berkaitan dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR). Malangnya, kebanyakan aktiviti CSR itu adalah acara setahun sekali yang mempunyai sedikit impak mampan dan ita boleh buat lebih baik,” katanya.
Wan Azizah turut berharap kerja-kerja yang akan dilakukan oleh PAUM akan membantu melahirkan pemimpin masa depan yang diperlukan negara ini.
“Saya memuji Universiti Malaya kerana menerajui pusat sebegini untuk memupuk pemimpin yang memberi inspirasi dan saya berharap universiti lain akan turut mengikutinya,” katanya. – MalaysiaGazette