hakim kritikan
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat hadir pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2023 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Perkembangan teknologi dalam proses kehakiman menyebabkan para hakim terdedah kepada kritikan daripada orang ramai.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, bukan sahaja penghakiman mereka dinilai, malah ada pihak yang membangkitkan isu berkaitan kehidupan peribadi para hakim.

Menurut beliau, terdapat perbezaan antara kritikan yang berasas berbanding yang dilakukan secara melulu.

“Harapan kami adalah orang awam yang tidak mempunyai maklumat lengkap menggunakan kuasa teknologi untuk memahami penghakiman yang diputuskan.

“Penghakiman mesti difahami bukan sahaja dari segi apa yang diputuskan tetapi juga daripada sebab-sebab yang menyokongnya,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia di sini, hari ini.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Badan Peguam, Karen Cheah hadir pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2023 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2023.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam ketika berucap pada program sama menggesa kerajaan melaksanakan segera reformasi undang-undang seperti yang dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, keutamaan perlu diberikan terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan taraf warganegara anak yang dilahirkan di luar negara, akta dana politik serta pindaan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 bagi menggalakkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pelantikan hakim.

Selain itu, Karen turut menyentuh tentang penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengasingan kuasa Peguam Negara dan Peguam Cara serta Akta Keharmonian Nasional.

“Sebagai penyokong kebebasan kehakiman dan reformasi undang-undang, saya menggesa reformasi undang-undang ini dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette