SHAH ALAM – Dua lelaki yang menjadikan inap desa di Shah Alam, Selangor sebagai setor dadah sebelum diedarkan di sekitar Lembah Klang ditahan polis menerusi serbuan yang dilakukan pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, serbuan tersebut membawa kepada penemuan dadah jenis Syabu (Methaphetamine) seberat 169.4 kilogram dan pil Yaba seberat 4.8 kg dianggarkan bernilai RM5.8 juta.
“Dua suspek yang berusia 38 dan 47 tahun itu dipercayai memperolehi bekalan dadah dari Thailand,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kamarudin memberitahu, dalam satu lagi operasi yang diadakan sehari sebelum itu, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.
“Berpandukan maklumat suspek yang ditahan di Sepang itu, polis membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan sekitar sebelum berjaya membawa kepada penemuan dadah jenis Sybu seberat 46.3 kilogram dan Ketamin 1.5 kg yang dianggarkan bernilai RM1.62 juta.
“Dengan tangkapan tiga suspek membabitkan dua sindiket pengedaran dadah yang aktif sekitar Lembah Klang sejak awal 2023 ini, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah berjumlah 222 kilogram berjumlah RM7.4 juta,” ujarnya.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan boleh digunakan 1.107 juta penagih dadah.
Kamarudin berkata, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama tujuh hari sehingga 12 dan 13 Julai ini.
Tambah beliau, suspek yang dilibatkan dengan ujian saringan air kencing mendapati dua individu positif Methaphetamine.
“Kita juga telah mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana aset sindiket iaitu dua kenderaan masing-masing Kia dan Toyota Hilux, dua bentuk cincin dan seutas jam tangan mewah disita untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kamarudin berkata, polis sedang mengesan saki baki individu yang terlibat dengan kumpulan tersebut. – MalaysiaGazette