Suspek wanita yang diburu polis dalam kes simbah asid ke atas pasangan suami isteri di Batu Caves pada 4 Julai lalu kini ditahan.

GOMBAK – Seorang wanita warga emas yang telah ditahan semalam kerana disyaki menyimbah asid ke atas suami isteri dalam kejadian di Batu Caves minggu lalu telah direman bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, reman suspek tempatan berusia lingkungan 60-an itu selama empat hari.

“Wanita berkenaan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang pagi tadi untuk permohonan perintah reman untuk membantu siasatan.

“Mahkamah kemudian membenarkan suspek warga emas itu direman sehingga Khamis ini untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Noor Arifin, motif utama kejadian simbah asid itu masih dalam siasatan polis.

Malam tadi, beliau mengesahkan suspek yang dikehendaki ditahan dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan sekitar Rawang.

Pada 6 Julai lalu, seorang warga emas bersama suami warga asing berusia 37 tahun yang juga pengusaha kedai roti naan  disimbah asid oleh suspek semasa mahu memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves.

Rakaman kamera litar tertutup kejadian itu turut tular di media sosial selepas dimuat naik seorang individu yang mengaku sebagai kenalan kepada mangsa. – MalaysiaGazette