Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Ahmad Razlan Mohamed

KUALA LUMPUR- EP Manufacturing Bhd. (EPMB) berjaya mendapat kelulusan bersyarat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi lesen pengilangan untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan empat roda jimat tenaga (EEV) dan kenderaan penumpang elektrik (EV) serta kenderaan komersial elektrik.

Kelulusan di bawah skop Akta Koordinasi Industri 1975 itu dianugerahkan kepada Peps-JV (Melaka) Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh EPMB, semalam.

EPMB dalam kenyataannnya hari ini berkata, syarat lesen itu mesti dipenuhi Peps-JV dalam tempoh enam bulan dari tarikh surat kelulusan dikeluarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPBM, Ahmad Razlan Mohamed berkata, lesen itu membolehkan Peps-JV memulakan operasi kilang pemasangan EEV, EV dan produk-produk berkaitan.

Peluasan operasi itu bakal membuka peluang perniagaan baharu untuk pertumbuhan perolehan dan perniagaan sejajar dengan inisiatif kemampanan.

“Kami gembira dengan kelulusan lesen tersebut dan komited untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan MITI.

“Bagi mempercepatkan penerokaan kami dalam pasaran ini, syarikat bercadang untuk membina kilang paling canggih di Pegoh, Melaka,” katanya.- MalaysiaGazette