KDNK Terengganu
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu pada kadar 5.9 peratus tahun lalu sebenarnya menduduki tangga kelima tercorot berbanding negeri-negeri lain.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, fakta itu adalah berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatatan Perangkaan.

Menurut beliau, KDNK Pulau Pinang menduduki tangga teratas pada 2022 dengan kadar 13.1 peratus diikuti Selangor (11.9 peratus), Pahang (10.8 peratus), Kuala Lumpur (9.2 peratus), Melaka (8.6 peratus), Johor (8.2 peratus), Kedah (7.2 peratus) dan Sarawak (6.5 peratus).

Selain itu, katanya, Negeri Sembilan mencatatkan KDNK pada kadar 6.4 peratus diikuti Terengganu (5.9 peratus), Perlis (5.7 peratus), Perak (4.3 peratus), Kelantan (4.3 peratus), Labuan (4 peratus) dan Sabah (3.7 peratus).

“Apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi pertumbuhan dan kenaikan peratusan KDNK Terengganu pada 2022 sebanyak 5.9 peratus, semua media Pas dan pengikutnya bersorak gegak-gempita di media sosial.

“Kerana ia kononnya menjadi petunjuk kejayaan Pas di Terengganu membangunkan ekonomi negeri. Tapi benarkah begitu?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 3 Julai lalu, Ahmad Samsuri berkata, Terengganu mencatatkan KDNK sebanyak RM37.3 bilion tahun lalu iaitu peningkatan 5.9 peratus berbanding 2021.

Malah, Mohd Khairuddin yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO menambah, KDNK Terengganu menduduki tangga ketiga tercorot pada 2020 dan 2021.

Beliau memberitahu, KDNK Terengganu meningkat sebanyak 5.9 peratus daripada RM35.152 bilion pada 2021 kepada RM37.3 bilion pada 2022 manakala pertumbuhan dan peningkatannya sekitar RM2 bilion.

“Jika dibuat perbandingan dengan Perak yang meningkat hanya 4.3 peratus pada 2022 tetapi nilainya lebih RM3 bilion kerana ia peningkatan daripada RM76.78 bilion pada 2021 kepada RM80 bilion pada 2022 kerana KDNK Perak berada pada kedudukan ketujuh antara negeri-negeri.

“Negeri Sembilan pula meningkat 6.4 peratus pada 2022 tetapi nilainya ialah RM3.1 bilion kerana peningkatan daripada RM47.69 kepada RM50.7 bilion kerana KDNK Negeri Sembilan pada kedudukan kesembilan antara negeri-negeri,” jelasnya.

Mohd Khairuddin berkata, kebanggaan bukan pada peratus pertumbuhan dan peningkatan sahaja tetapi juga pada nilai peningkatan KDNK dan nilai KDNK itu sendiri.

“Terengganu perlu bekerja keras lagi membangunkan ekonomi negeri,” katanya. – MalaysiaGazette