KUALA LUMPUR – DAP diminta menarik balik Deklarasi Setapak secara rasmi ekoran kegagalan parti itu meneruskan usaha mendesak kerajaan memansuhkan dasar-dasar berkaitan kepentingan bumiputera.
Jurucakap MCA, Wong Siew Mun berkata, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sistem kuota bumiputera di universiti awam akan dikekalkan baru-baru ini.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada DAP selaku parti terbesar dalam kerajaan bersedia untuk mengakui mereka gagal melaksanakan Deklarasi Setapak.
“Pengerusi DAP, Lim Guan Eng digesa menarik balik secara rasmi pendirian dan tuntutan-tuntutan partinya sebelum ini. Langkah itu akan membuktikan parti tersebut telah menetapkan matlamat yang salah dalam tindakannya selama ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Merujuk kepada laman sesawang rasmi DAP, Deklarasi Setapak bertujuan memperkukuh pandangan parti itu dalam proses membina negara, kesamarataan etnik harus menjadi prinsip paling penting, dan atas prinsip tersebut, pengasingan rakyat ke dalam dua kelompok ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’ adalah ditentang.
Siew Mun memberitahu, DAP hendaklah meminta maaf kepada semua kumpulan etnik di negara ini sekiranya parti itu membuat keputusan untuk menarik balik Deklarasi Setapak.
Menurut beliau, adalah jelas DAP bukan sahaja gagal menepati janjinya malah ia telah memperdayakan pengundi dan penyokongnya apabila mempersoalkan kedudukan kaum bumiputera.
“Malah DAP kini menggunakan ‘gelombang hijau’ untuk mencetuskan ketakutan bagi menyembunyikan kegagalannya menunaikan janji-janji kepada pengundi,” jelasnya. – MalaysiaGazette