JOHOR BAHRU – Seorang pemilik bengkel maut manakala pekerjanya cedera selepas bengkel membaiki jentera berat meletup.
Kejadian berlaku di Jalan Persiaran Mutiara Mas, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini pukul 9.13 minit malam semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mangsa berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala pekerjanya yang berusia 27 tahun melecur dan patah kaki.
“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja kimpalan sebuah lori tangki di dalam bengkel berkenaan.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan kecemasan dan bedah siasat,” katanya kepada media hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman berkata, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, BBP Larkin dan BBP Pekan Nenas diatur gerak ke lokasi kejadian bersama dengan kekuatan 24 anggota.
“Semasa kejadian, letupan tersebut telah mengakibatkan kerosakan pada cermin tingkap rumah yang berada pada jarak lebih kurang 100 kaki dari bengkel tersebut.
“Kesan letupan turut mengakibatkan dua orang mangsa melecur dan dihantar ke hospital berhampiran sebelum PKO tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Menurut Mohd. Faiz, letupan itu menyebabkan kebakaran yang memusnahkan 60 peratus bengkel berkeluasan 40 kaki x 40 kali itu.- MalaysiaGazette