Onn Hafiz ketika lawatannya ke Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC).

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM1.6 bilion bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia melibatkan Lembangan Sungai Muar, Segamat, Lembangan Sungai Johor, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

“Kerajaan Negeri (juga) ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) kerana telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10.4 juta bagi perolehan pam bergerak sebanyak 24 unit.

“Manakala RM6.88 juta bagi penyelenggaraan infrastruktur saliran seperti membaiki kerosakan tebing dan mendalamkan sungai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad di kementerian tersebut.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, Johor dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 dengan 2,000 delegasi dari 150 negara akan menyertainya.

“Perancangan dan persediaan Malaysia menangani isu pencemaran, bencana banjir dan (amalan) Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) akan menjadi topik hangat di konvensyen tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette