Gambar hiasan

 

Pendahuluan

Beberapa hari yang lalu, satu kenyataan rasmi telah dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa Pilihanraya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) yang ke-15 bakal bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 12 Ogos 2023. Seperti kebiasaannya, perkembangan ini juga bakal merancakkan dan memanaskan suhu politik di Malaysia. Walaupun tempoh berkempen secara rasmi belum lagi bermula, namun hakikatnya kempen-kempen politik secara tidak langsung sudahpun dimulakan sejak awal lagi oleh parti-parti politik yang bakal bertanding. Keadaan ini akan mencapai kemuncaknya sehinggalah menjelang PRU DUN kelak.

Sudah menjadi adat dalam kempen politik, dimana pihak-pihak yang berkepentingan akan membangkitkan isu-isu bagi meraih sokongan dan simpati pengundi. Ramai penganalisis menjangkakan bahawa isu-isu maslahah umum seperti isu integriti, tadbir urus, ekonomi dan kenaikan kos hidup bakal menjadi tumpuan sebagai bahan kempen PRU DUN ke 15. Tidak ketinggalan juga isu-isu ’3R’ iaitu Agama (Religion), Bangsa (Race), dan Raja (Royalty) dijangkakan akan menjadi salah satu isu perhatian.

Lambakan maklumat
Berbeza dengan keadaan yang terdahulu, akses kepada maklumat pada hari ini menjadi lebih mudah seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Akses terhadap maklumat dilihat semakin penting dalam menyalurkan manifesto mahupun propaganda sesebuah parti yang bertanding bagi meraih sokongan mahupun dalam usaha melemahkan lawannya. Hal ini dibuktikan pada Pilihan raya Umum (PRU) yang lalu dimana media sosial telah menjadi diantara penentu utama dalam mewujudkan kemenangan mahupun kekalahan seseorang calon yang bertanding. Oleh itu, kempen
pilihanraya pada hari ini boleh ditafsirkan sebagai medan peperangan maklumat.

Namun yang demikian, kemudahan akses terhadap penciptaan dan penerimaan maklumat menjelmakan permasalahan baharu iaitu masalah lambakan maklumat ataupun disebut sebagai infodemik. Permasalahan ini menuntut kepada pengurusan maklumat yang baik, oleh kerana jika ianya tidak diruskan dengan berkesan, ianya akan membuka kepada permasalahan yang lebih besar seperti penyebaran dan penciptaan berita palsu, hasutan, fitnah, dan sebagainya.

Kebebasan maklumat dalam pilihan raya demokratik

Pilihan raya merupakan mercu tanda utama sesebuah demokrasi dimana rakyat bebas memilih wakil kepimpinan mereka dalam mengamalkan sistem yang mendokong pemerintahan rakyat. Oleh itu, adalah mustahak untuk memastikan bahawa pengundi mendapat maklumat yang mencukupi bagi memilih barisan kepimpinan yang tepat bagi mengemudi kerajaan yang bakal dipilih. Maklumat tepat dalam pilihan raya yang merangkumi latar belakang calon, manifesto dan hala tuju parti haruslah diperolehi dalam keadaan telus, tulus serta bebas.

Hal ini pernah diutarakan oleh seorang ahli falsafah British, Alexander Meiklejohn, yang menyatakan bahawa kebebasan ini harus dilindungi kerana ianya adalah salah satu syarat yang penting dalam menentukan hala tuju sebuah pentadbiran sendiri sesebuah negara yang mengamalkan konsep demokrasi penyertaan (participatory democracy). Hal ini penting kerana sesebuah proses politik termasuklah pilihan raya tidak boleh
dianggap sebuah proses yang demokratik sekiranya rakyat dihalang daripada menyatakan pandangan, menerima dan memberi maklumat secara terbuka, sekaligus menghalang perbezaan pendapat yang membina. Justeru itu, keperluan untuk melindungi kebebasan maklumat dan kebebasan bersuara dalam konteks pilihanraya adalah bertepatan dengan semangat Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Maklumat berlebihan rosakkan proses demokrasi

Walaupun kebebasan maklumat adalah dituntut didalam sesebuah pilihanraya yang demokratik, namun lambakan makluman yang berlebih-lebihan ataupun disebut sebagai infodemik mampu merumitkan permasalahan pengurusan maklumat sedia ada, dan juga mampu mencipta permasalahan yang baharu. Fenomena infodemik ini mampu menggugat keupayaan pengundi dalam membezakan samada sesebuah maklumat itu bersifat konstruktif, ataupun destruktif. Dilema utama yang seringkali dihadapi ketika sesebuah pilihanraya adalah fenemona lambakan
berita palsu.

Permasalahan berita palsu ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah boleh dianggap sebagai salah satu senjata perang saraf yang sentiasa digunakan dalam menambah atau
mengurangkan sokongan terhadap sesuatu entiti politik. Dalam usaha untuk mengekang penularan berita palsu pada pilihan raya, Parlimen pernah meluluskan sebuah undang-undang yang dinamakan sebagai Akta Anti Berita Palsu 2018. Akta yang dikuatkuasakan pada April 2018 iaitu kira-kira sebulan sebelum PRU yang ke-14, bagaimanapun hanya bertahan kira-kira setahun sahaja hayatnya kerana kemudiannya ianya dimansuhkan.

Hal ini kerana undang-undang tersebut didapati mampu mengganggu gugat hak kebebasan bersuara. Walaupun begitu, pemansuhan Akta Anti Berita Palsu 2018 bukanlah bererti bahawa penularan berita palsu tidak langsung dikawal selia oleh undang-undang. Penyebar atau pencipta sesebuah berita palsu masih lagi boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dimana seseorang itu boleh dihukum sekiranya terbabit dalam penciptaan dan penyebaran kandungan diatas talian yang bersifat lucah, palsu, ataupun mengancam individu yang lain. Melalui peruntukan ini, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50, 000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-keduanya sekali. Dalam pada itu, tindakan undang-undang juga boleh diambil ke atas maklumat palsu yang disampaikan melalui media bercetak dibawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Selain daripada bahana berita palsu, kesalahan yang berbentuk hasutan juga dilihat berpotensi untuk menjadi duri dalam daging di dalam masyarakat khususnya ketika kempen pilihan raya diadakan. Dalam perkara ini, perhatian khusus haruslah diberikan kepada isu-isu ”3R” , oleh kerana sekiranya ianya tidak dibincangkan dan di bicarakan dengan cermat, ia mampu mencetuskan ketidakharmonian didalam masyarakat. Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya sesebuah bahan kempen tersebut didapati mempunyai ”kecenderungan menghasut”, seperti mana yang digariskan dibawah Akta Hasutan 1948. Disamping itu, Seksyen 4A Akta Kesalahan Piliharaya 1954 turut memainkan peranan supaya maklumat yang boleh menimbulkan kebencian ketika pilihan raya dapat dikawal.

Menurut peruntukan ini, mengembangkan perasaan jahat dan pemusuhan dalam kalangan rakyat ketika pilihanraya bagi tujuan untuk meraih undi atau mendorong pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi ketika pilihanraya adalah satu kesalahan jenayah. Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara, atau denda, atau kedua-duanya sekali. Bagai isi dengan kuku, kesalahan fitnah dan pilihanraya juga amat sukar untuk dipisahkan walaupun telah menjadi satu masalah sejak zaman berzaman. Permasalahan ini dilihat menjadi semakin buruk akibat daripada ledakan kemajuan teknologi kecerdasan buatan dan juga media sosial yang membolehkan fitnah tersebut membawa kesan yang lebih buruk dan boleh disebarkan dengan lebih pantas.

Di Malaysia, mekanisme pengawalan fitnah boleh diklasikasikan berdasarkan kepada jenis tindakan undang-undang yang diambil keatas pemfitnah tersebut. Sekiranya tindakan yang diambil adalah bersifat sivil, maka ianya diselia dibawah Akta Fitnah 1957 yang membolehkan tindakan saman malu diambil keatas pemfitnah. Tindakan ini memberi ruang kepada yang terfitnah untuk menuntut reputasinya dibersihkan melalui permohonan maaf dan juga kenyataan fitnah tersebut ditarik semula oleh pemfitnah. Disamping itu, ianya turut menyediakan hak untuk individu yang difitnah untuk melakukan tuntutan ganti rugi. Sementara itu, sekiranya tindakan yang diambil adalah di bawah undang-undang jenayah, maka tindakan boleh dilaksanakan dibawah Seksyen 499 di bawah Kanun Keseksaan, dimana sekiranya pemfitnah tersebut didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Kesimpulan

Pada kesempatan ini, suka penulis mengingatkan pihak-pihak yang bertanding agar bertanding secara budiman dan sentiasa mengawasi tingkah laku mereka agar tidak melanggar undang-undang sedia ada. Dalam pada masa yang sama, pengguna maklumat, khususnya pengundi haruslah bijak dalam meverifikasi maklumat samada maklumat itu benar ataupun sebaliknya. Dalam konteks pengurusan
maklumat, penulisan berpendapat bahawa kawalan kendiri adalah cara yang paling berkesan untuk menangkis kesan buruk infodemik. Sementara itu, penulis juga mahu mengingatkan bahawa fenomena lambakan maklumat bukanlah lesen untuk menyekat maklumat secara total bahkan ianya adalah isyarat yang menuntut supaya maklumat tersebut dipantau dan diurus dengan baik. Hal ini penting oleh kerana penulis percaya bahawa kebebasan dan keberadaaan maklumat yang tepat adalah nadi yang sangat penting didalam sesebuah proses demokrasi, khususnya dalam memilih pemimpin.

Dr. Hafidz Hakimi Haron
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Undang-Undang,
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS),
Universiti Utara Malaysia.