Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim bergambar kenangan bersama sebahagian para pelajar pada Sesi Dialog dan Majlis Pelancaran Program Sekolah Rukun Negara di Dewan Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 12 JULAI 2023.

BANGI — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan Program Sekolah Rukun Negara bagi membekal dan meningkatkan literasi politik kepada golongan belia dalam negara.

Timbalan Menterinya Adam Adli Abd Halim memberi jaminan, modul Sekolah Rukun Negara itu tidak mengandungi elemen indoktrin oleh mana-mana parti politik.

Malah, beliau berkata, ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang diberi ruang menghadirinya selain menganjurkan sesi itu menggunakan modul yang disediakan.

“Sewaktu sesi libat urus yang diadakan bersama wakil parti politik dan ahli parlimen pembangkang, mereka berpuas hati dengan pembentangan modul ini.

“Kita juga beri ruang kepada mana-mana ahli parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang untuk hadir ke sesi itu, malah mereka boleh menganjurkan tetapi modul itu mesti daripada kita.

“Kita tak benarkan elemen kepartian dimasukkan, dan kita akan memastikan integritinya (modul Sekolah Rukun Negara) terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Sekolah Rukun Negara anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-Lead), di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Menurut Adam Adli, Sekolah Rukun Negara dilaksanakan bagi memastikan golongan belia mendapat pendidikan politik dan demokrasi yang selaras dengan keperluan kumpulan itu.

“Pelajar yang berusia 18 tahun, lepasan sekolah sudah dipertanggungjawabkan sebagai pengundi. Tidak adil untuk kita mengikat mereka dengan tanggungjawab tanpa kita memberi satu ruang untuk mereka bincang tentang politik secara sihat.

“Sesi ini juga menggalakkan soalan advokasi media dan maklumat tentang cara menilai berita, apa itu kebebasan media serta menyentuh isu-isu asas perbezaan rantaian kuasa dalam negara, tujuan Pilihan Raya dan banyak lagi,” katanya.

Adam Adli berkata, KBS menyasarkan 60,000 peserta dalam sesi bersemuka Sekolah Rukun Negara, manakala secara dalam talian sebanyak 9 juta capaian meliputi semua lapisan masyarakat pada tahun ini.

Program Sekolah Rukun Negara merupakan inisiatif terkini KBS dibawah Rakan Muda (Rakan Demokrasi) yang diselaraskan oleh i-LEAD. -MalaysiaGazette