Zahri Sarip ketika mengadakan program Jelajah Muhibah ke Kampung Orang Asli (KOA) Segamat Kecil.

SEGAMAT — Kerajaan Negeri Johor bercadang untuk memasukkan pemberian elaun khas tok batin dalam Belanjawan Johor 2024 akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, elaun khas daripada kerajaan negeri akan membantu tok batin di negeri ini untuk menguruskan kelompok masyarakat di bawah jagaan mereka.

“Selama ini mereka hanya menerima elaun berjumlah RM900 yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Saya berpandangan perlu ada inisiatif dan tanggungjawab dari kerajaan (negeri) untuk turut memberi saguhati kepada mereka.

“Jadi, saya cuba untuk bawa suara ini kepada kerajaan Negeri untuk masukkan juga ke dalam bajet tahunan Kerajaan sebagai sumbangan tambahan daripada pihak Kerajaan Negeri kepada jumlah elaun batin yang diterima.” katanya menerusi kenyataan hari ini

Zahari menghadiri program Jelajah Muhibah ke Kampung Orang Asli (KOA) Segamat Kecil di sini, semalam.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Segamat, Masni Wakiman, Pengarah JAKOA Negeri Johor, Faisal Long; Pengarah Pertanian Negeri Johor, Yosri Mohd dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Haslinda Salleh.

Sementara itu,Tok Batin KOA Segamat Kecil, Ariffin Nong yang telah berkhidmat selama 20 tahun bersyukur sekiranya cadangan berkenaan dapat dilulus dan dimasukkan di dalam Belanjawan Johor 2024.

“Sepanjang saya berkhidmat, belum pernah dapat elaun atau bantuan untuk tok batin daripada kerajaan negeri. Jadi, apa yang dilakukan oleh Exco Luar Bandar ini. Saya sambut baik.

“Nilainya saya tak kisah kerana ia pasti akan memberi sedikit tambahan kepada apa yang sudah diberi oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette