Shamsul Anuar (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada anggota Rela pada Program Ramah Mesra bersama anggota Rela di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Seramai 6,735 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditugaskan di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) pada Ogos depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesemua anggota Rela itu akan bersama membantu pihak polis bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengundi.

“Kita sedia maklum akan berlangsung PRN di enam negeri dan 29 Julai nanti merupakan hari penamaan calon dan diikuti dengan pengundian pada 12 Ogos. Jadi sudah tentu anggota Rela akan bersama dengan anggota keselamatan lain polis terutamanya bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab menjaga kelancaran PRN.

Shamsul Anuar.

“Kita akan tempatkan anggota Rela di semua tempat terutamanya kawasan hot spot yang dikenal pasti dan saya dimaklumkan mereka akan mengikut apa yang diarahkan oleh anggota keselamatan lain khususnya polis.

“Pihak polis dan Rela sudah mempunyai pengalaman dalam menghadapi pilihanraya jadi tahap kesiapsiagaan baik polis dan Rela sudah di peringkat maksimum dan kita tunggu hari dan ketikanya (hari mengundi),” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu, Shamsul Anuar hadir Program Ramah Mesra bersama anggota Rela Pulau Pinang di Dewan Millenium, di sini.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata, pihaknya kini dalam usaha perkukuhkan dan perkasakan Rela menjadi jabatan yang terus kekal berkhidmat kepada raktyat.

“Selain itu, soal berkaitan dengan kebajikan mereka juga diberikan keutamaan dan perhatian dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette