Mayat warga Nepal berusia 32 tahun ditemui majikannya berlumuran darah dalam tandas sebuah rumah kedai Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, malam tadi.

MELAKA – Seorang pembantu kedai makan maut dibunuh rakan sebiliknya kerana mangsa dikatakan sering meminjam duitnya selain lambat membuka pintu apabila pulang ke asrama mereka.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, mayat warga Nepal berusia 32 tahun ditemui majikannya berlumuran darah dalam tandas sebuah rumah kedai Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam yang merupakan asrama pekerja.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 pukul 6.42 petang memaklumkan penemuan mayat lelaki dalam premis rumah kedai tiga tingkat itu.

“Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati satu mayat lelaki warga Nepal berusia 32 tahun dengan kesan jerutan di leher di dalam tandas dalam keadaan tidak berbaju bersama sebatang kayu dan kabel telefon berhampirannya.

“Polis kemudian berjaya memberkas suspek warga Nepal berusia 20 tahun yang juga rakan sebiliknya di dalam sebuah bas di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Pedas Linggi pada pukul 11.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher Patit

Menurutnya, suspek ketika itu cuba melarikan diri ke utara negara sebelum diberkas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengetahui motif kejadian.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga rakan sekerja mangsa dan baharu mengenalinya tiga bulan lalu bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan rakannya itu yang sering meminjam duitnya.

“Mangsa juga dikatakan kerap lambat membuka pintu bila suspek pulang ke rumah dari tempat kerja di sebuah kedai makan,” katanya.

Tambah Christopeher, suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan atas kesalahan bunuh. – MalaysiaGazette