Saifuddin Shafi

SHAH ALAM – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa telah mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor dalam memilih Menteri Besar Selangor pada ceramah Jelajah Selangor Baharu baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan PKR  Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad, satu klip video yang tular memperlihatkan Menteri Besar Kedah itu menyoal tindakan Sultan Selangor itu sungguh mengecewakan dan mengejutkan.

Katanya, Muhammad Sanusi bersikap biadab apabila menyatakan Sultan Kedah tidak akan memilih seorang pemimpin seperti Datuk Seri Amirudin Shari untuk menerajui Selangor sebagai Menteri Besar.

“Umum mengetahui bahawa pelantikan Menteri Besar adalah kuasa dan budi bicara Sultan Selangor seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Namun yang lebih dikesalkan adalah sehingga kini tidak ada kelibat dan suara berani pimpinan PN Negeri Selangor yang menempelak sikap kurang ajar Sanusi. Adakah mereka ini tidak berani bersuara kerana mereka sedar bahawa mereka bergantung penuh pada Sanusi untuk menarik orang datang mendengar ceramah mereka?

“Apakah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sepentas dengan Sanusi pada malam itu tidak ada keberanian untuk menegur individu yang secara terang-terangan memperlekehkan institusi Kesultanan Selangor?

“Amat malang apabila mantan Menteri Besar sendiri seolah olah bersetuju dengan keceluparan Sanusi,” katanya dalam kenyataan.

Dakwa Saifuddin, kemungkinan Mohamed Azmin tidak berupaya kerana sedar bukan setakat orang Gombak yang menolaknya tetapi seluruh negeri Selangor juga tidak akan memberikan muka lagi kepadanya.

“Atau adakah kerana Azmin juga bersikap biadab dengan Sultan Selangor apabila mendahului baginda dalam mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor, maka perbuatan kurang ajar kepada istana dianggap biasa oleh beliau?

“Jika Azmin Ali pun tidak berani, apakah yang rakyat Selangor boleh harapkan kepada pimpinan PN Selangor seperti Dr. Afif Bahardin, Dr. Yunus Hairi dan juga Tan Sri Noh Omar?

“Inikah muka-muka yang boleh rakyat Selangor berikan kepercayaan dalam mengemudi negeri bermaruah seperti Selangor Darul Ehsan?” soalnya.

Kata Saifuddin lagi, ketika ini rakyat Selangor menanti menunggu permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi atas sikap kurang ajar beliau.

“Sekurang-kurangnya harap pimpinan PN Selangor ada keberanian untuk menegur Sanusi dan memadam aib derhaka yang dilontarkan oleh orang luar kepada wibawa Kesultanan Selangor dan maruah rakyat negeri ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setiausaha Pengelola Majlis PKR ni tiada ilmu atau BODOH? PN senantiasa menggunakan SALURAN untuk membuat nasihat teguran bantahan atau PERSETUJUAN… PN tidak boleh disamakan dengan DAP PKR UMNO. benda KECIL ni Rafizi Ramli pun “masak” sebagai Raja Formula…

Comments are closed.