Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Sejak dilancarkan April yang lalu seramai sejuta orang menikmati manfaat saringan percuma bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata daripada jumlah tersebut 40 peratus daripadanya telah dirujuk untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, sehingga hari ini lebih daripada 50,000 penerima manfaat PeKa B40 telah menerima 60,000 Bantuan Kesihatan (Peralatan Kesihatan percuma) bernilai RM110 juta sejak skim ini diperkenalkan.

Dalam masa yang sama sejumlah 7,000 penerima manfaat PeKa B40 juga telah menerima Insentif Penyelesaian Rawatan Kanser dan 12,000 telah menerima Insentif Pengangkutan.

“Semua ini di bawah Kumpulan B40 melalui saringan kesihatan percuma untuk pengesanan awal NCD dan faktor risikonya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi dalam darah, obesiti, kemurungan, kerisauan, dan kanser,” katanya menerusi kenyataan.

Zaliha berkata, PeKa B40 menawarkan empat manfaat kepada penerima yang layak antaranya saringan kesihatan percuma di klinik swasta dan yang berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM).

Skim tersebut turut memberi bantuan kesihatan yang merupakan 10 kategori peralatan perubatan percuma sehingga RM20,000.00 seperti stent jantung, kanta intra-okular, dan implan sendi tiruan, sepanjang hayat mereka.

“Insentif Penyelesaian Rawatan Kanser, insentif tunai RM1,000 dan insentif pengangkutan iaitu kos pengangkutan bernilai RM500 (Semenanjung Malaysia) atau RM 1,000 (Sabah & Sarawak) semasa menerima rawatan perubatan untuk Manfaat 2 & 3,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada 3,100 Klinik GP, 990 Klinik Kesihatan, 170 makmal swasta, dan 140 hospital KKM kerana menyokong inisiatif kerajaan menerusi skim tersebut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast