Khairin-Nisa Ismail. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor merancang untuk menubuhkan tiga jawatankuasa bagi memperkasakan golongan rentan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata perancangan itu merangkumi penubuhan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Johor, Majlis Tindakan Warga Emas Negeri Johor dan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Negeri Johor.

Katanya, penubuhan ketiga-tiga jawatankuasa itu berdasarkan kepada dasar-dasar dan pelan tindakan sedia ada di peringkat Persekutuan.

“Antara yang dibahaskan dalam perbincangan hari ini adalah tentang pelan perancangan penubuhan Majlis Tindakan OKU Negeri Johor, Majlis Tindakan Warga Emas Negeri Johor dan juga Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Negeri Johor berdasarkan dasar-dasar dan pelan tindakan yang sedia ada di peringkat persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Inisiatif Memperkasa Golongan Rentan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Perkara itu dikongsikan Khairin-Nisa selepas mengadakan perbincangan bersama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor (JKMNJ), Muzairiah Bajuri mengenai perancangan inisiatif-inisiatif itu.

Khairin-Nisa berharap menerusi usaha tersebut ia akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara mesra golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak.

“Semoga usaha dan inisiatif yang telah dibincangkan hari ini dapat dijalankan dengan kerjasama dari semua pihak yang berkaitan dan terlibat.

“Saya berharap apa yang kita lakukan ini mampu menjadi teladan kepada kerajaan tempatan lain dalam menjadikan negara kita mesra golongan rentan OKU, warga emas dan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, masyarakat yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi semasa termasuk OKU tidak terlepas daripada diberikan tumpuan utama oleh kerajaan negeri agar nasib mereka terus terbela.

Malah setiap bantuan dan peruntukan dikeluarkan adalah berdasarkan keperluan semasa dan tidak bersikap memilih.-MalaysiaGazette