KLUANG – Kerajaan akan memberi tumpuan terhadap isu kelewatan projek fasa satu Taman Puterimas yang melibatkan 400 unit rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata,ia kerana masalah kelewatan menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta penyerahan kunci kepada pembeli sudah menemui jalan penyelesaian.
“Susulan aduan dan keluhan penduduk di Facebook Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Facebook saya sendiri berkenaan kelewatan CCC dan serahan kunci Taman Puterimas Kluang, hari ini saya sendiri turun ke Kluang menyelesaikan permasalahan tersebut.
“Seperti saya nyatakan sebelum ini antara punca kelewatan adalah kerana syarat baru (Ranhill) SAJ yang perlu dipenuhi bagi keselesaan penduduk untuk jangka masa panjang. Alhamdulilah permasalahan itu telah selesai dan CCC akan keluar minggu depan.
Insya-Allah serahan kunci akan dibuat sebelum akhir bulan ini,” katanya ketika mengadakan lawatan di taman perumahan Taman Puterimas hari ini.
Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri melalui penyelarasan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) berserta 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelbagai jabatan komited membantu menyelesaikan isu berkaitan teknikal yang menjadi kekangan terhadap isu perumahan.
Terdahulu media melaporkan komitmen kerajaan negeri mengambil langkah responsif terhadap aduan dan keluhan pembeli projek Taman Puterimas.
Susulan itu, PKPJ mengenal pasti isu kelewatan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci projek perumahan terbabit.
Sebelum ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 24 projek perumahan yang merangkumi 17 projek sakit, manakala tujuh lagi terbengkalai di seluruh Johor.-MalaysiaGazette