Chow Kon Yew

GEORGE TOWN – Chow Kon Yeow dinamakan Ketua Menteri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).

Keputusan sebulat suara DAP itu diutarakan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook selepas mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan parti termasuk Pengerusi Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Antara yang terlibat dalam perbincangan itu Gobind Singh (Timbalan Pengerusi), Nga Kor Miing (Naib Pengerusi) dan M. Kulasegaran (Naib Pengerusi).

“Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP telah bermesyuarat pada malam tadi untuk memutuskan soal calon Ketua Menteri Pulau Pinang pada PRN15 menjelang Ogos nanti.

“Kami secara sebulat suara menamakan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang untuk penggal yang kedua.

“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menter, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah mempersetujui keputusan tersebut selaku Pengerusi Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Anthony Loke, jawatankuasa sama juga memutuskan akan membuat pembaharuan besar dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk mentadbir semula.

“Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin negeri lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau turut menegaskan senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN15 akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya.

“Kita akan bermesyuarat minggu hadapan dan senarai calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum hari penamaan,” ujar beliau.

Sejak seminggu lalu wujud desas-desus Pulau Pinang bakal menerima ketua menteri baharu sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk semula kerajaan negeri selepas PRN15.

Antara nama yang disebut ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Anthony Loke. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast