Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil

MELAKA – Masih terdapat saki baki ahli kumpulan ajaran sesat SiHulk di kesan di Merlimau, Jasin melibatkan kumpulan remaja yang bergerak aktif melalui media sosial.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, kumpulan itu kini berada dalam pemantauan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum tindakan susulan diambil.

“Ada beberapa pengikut remaja dan dewasa dalam pemantauan kita di media sosial selepas dilaporkan keluarga mereka sendiri mengenai penglibatan anak-anak atau suami mereka dalam ajaran sesat Si Hulk.

“Jumlahnya saya tak boleh sebut namun mereka ini masih aktif dan dalam siasatan JAIM kerana rantaiannya bersifat underground yang tidak dizahirkan,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas program Melaka Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad dari Indonesia di Dataran Sejarah di Ayer Keroh  malam tadi.

Program dihadiri kira-kira 50,000 umat Islam dari seluruh negara sempena Sambutan Maal Hijrah 1445H itu diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yassin.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kini dalam proses mewartakan Si Hulk atau ketuanya, Suhaini Mohammad itu sesat kerana bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pada 15 Jun lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat itu ditahan di rumahnya di Jasin bersama bersama isteri dan tiga anaknya.

Hasil siasatan, lelaki itu mengaku sepatutnya berangkat ke New Zealand bersama isteri dan tiga anaknya dua hari sebelumnya untuk bersama pengasas ajaran sesat itu dan ahli kumpulan yang sudah berada di negara berkenaan.

Tangkapan itu susulan JAIM membuka kertas siasatan terhadap kumpulan itu selepas tular video di media sosial pada 20 Mac lalu mengenai dua lelaki Islam di Melaka yang telah memberi kenyataan menghina Nabi Muhammd SAW dengan mengatakan baginda adalah Allah.

Ajaran sesat berkenaan dipercayai disebarkan pengasasnya yang juga seorang pengusaha minuman kesihatan untuk mengumpulkan ahli sebelum menyebarkan fahamannya.

Umat Islam yang didapati terlibat dalam penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. – MalaysiaGazettte