Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa berusaha membantu serta menjaga kebajikan pelajar yang akan memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman
(WPP).

WPP berjumlah RM1,500 diberikan kepada setiap pelajar yang layak untuk menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA.

“WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA, ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria yang ditetapkan,” kata PTPTN dalam satu kenyataan.

Sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Mei 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.

Bagi kemasukan pelajar untuk sesi Julai 2023, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 18 Julai 2023
dengan membawa surat tawaran WPP serta MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 18 Julai 2023 sehingga 18 September 2023.

PTPTN telah menyediakan peruntukan berjumlah RM64.42 juta kepada seramai 42,946 pelajar yang telah berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di IPTA bagi kemasukan sesi Julai 2023. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA sekali gus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

Untuk makluman, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan
sewajarnya.

Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN). Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN boleh diperoleh melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my. Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat dengan cepat, mudah dan selamat melalui aplikasi myPTPTN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast