Soffian.

GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki termasuk seorang yang bertindak menjual wang kertas RM100 palsu di tepi Jalan Tebrau, Johor pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek diberkas selepas pihaknya menahan lelaki tempatan yang menggunakan wang kertas palsu itu untuk membeli kupon tambah nilai Touch N Go di sebuah kedai serbaneka di Jalan Macalister.

Jelas Soffian, terdahulu pihaknya menerima laporan daripada penolong pengurus stor di kedai serbaneka berkenaan pada 8 Julai lalu selepas pekerjanya menyedari sebanyak enam keping wang kertas RM100 yang diterima menerusi pembelian kupon tambah nilai oleh pelanggan disyaki palsu.

“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menangkap suspek tersebut di kawasan Georgetown pada 11.30 malam hari yang sama.

“Susulan itu, kita serbu rumah suspek di Bukit Mertajam  sebelum merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dan tujuh keping kupon tambah nilai Touch N Go.

“Hasil siasatan mendapati suspek membeli sebanyak 30 keping wang palsu RM100 dengan harga RM1,000 daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali menerusi laman sosial Instagram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Soffian, bertindak atas maklumat, polis menahan suspek yang dikatakan menjual wang kertas palsu itu dalam serbuan di Johor.

“Suspek pertama direman selama lima hari sehingga 13 Julai manakala suspek kedua pula selama lima hari sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette