Amirudin Shari

PETALING JAYA – Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat akan membuat keputusan terhadap Najwan Halimi berhubung mesej WhatsApp yang didakwa bersifat rasis.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari  tidak bersetuju dengan pendirian dan kaedah berfikir yang lemparkan  penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik tersebut.

“Lembaga Disiplin akan membuat keputusan terhadap beliau kemudian,” katanya selepas beberapa pihak termasuk Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Prasanth Kumar Brakasa supaya tindakan dikenakan terhadap Najwan.

Menteri Besar Selangor itu ditemui selepas menghadiri Konvensyen Suara Anak Muda di sini hari ini.

Sebelum itu, tangkap layar komen ‘parti India estet’ yang ditulis oleh Najwan dalam kumpulan WhatsApp ‘Keadilan’ tular di media sosial.

Komen berkenaan berkaitan pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meletakkan calon berketurunan India, Sivaranjani Manickam bagi kerusi DUN Meru.

Amirudin berkata, Najwan telah menghubungi Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan untuk memohon maaf kepada pimpinan serta anggota parti tersebut yang tersinggung dan salah faham terhadap mesej berkenaan.

Najwan juga telah memohon maaf secara terbuka di Twitter beliau selepas mesej berkenaan tular.

“Beliau hubungi sendiri saudara Sivarajan mungkin atas kesilapan dan keceluparan beliau. Ia (komen) dibuat bukan secara umum tetapi dalam ruang peribadi WhatsApp group walaupun saya tak setuju kaedah berfikiran dan pendirian begitu.

“Tapi bukanlah seperti (Datuk Seri Muhammad) Sanusi yang membuat dalam program ceramah dan mempertahankan diri pula ucapannya diputar belit dan akhirnya meminta maaf,” kata Amirudin.

Najwan dalam kenyataan permohonan maaf berkata, ia bukan bersifat perkauman dan tidak prejudis terhadap mana-mana bangsa termasuk berketurunan India.

Bagaimanapun beberapa pihak menggesa supaya Najwan dikenakan tindakan disiplin.

Komen Najwan yang merupakan Timbalan Ketua PKR Shah Alam didakwa melanggar kod tataetika anggota dalam Perlembagaan Parti di bawah klausa 10.1.6 dan 10.2.6.- MalaysiaGazette