SHAH ALAM – Manifesto atau tawaran yang bakal diberikan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kini sudah peringkat akhir.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Terengganu antara negeri terawal memberi beberapa tawaran kepada pengundi yang akan menentukan pembentukan kerajaan negeri pada 12 Ogos ini.
“Alhamdulillah hampir semua negeri sudah berada di peringkat akhir persiapan untuk tawaran-tawaran kita bagi PRN ini.
“Insya-Allah sampai masanya kita akan maklumkan tawaran-tawaran dan sesetengah negeri seperti Terengganu sudah sebut beberapa tawaran lebih awal kepada pengundi-pengundi,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Radzi memberi gambaran manifesto PN dalam PRN kali ini tidak jauh beza dengan tawaran yang diberikan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU).
“Kalau kita lihat sewaktu PRU15 lepas di mana manifesto kita agak menyeluruh, menyentuh pelbagai segmen masyarakat dan memberikan hala tuju yang jelas.
“Sekiranya kita membentuk kerajaan, ke arah mana kita nak bawa negara
“Itulah juga semangat dalam manifesto yang kita sedang sediakan untuk PRN ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette