Suspek memandu pacuan empat roda melawan arus kerana lari dari pemeriksaan polis akhirnya ditahan selepas terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan lain.

KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki yang melarikan diri daripada polis dengan memandu secara melawan arus di Lebuh Raya Kajang Silk akhirnya terlibat kemalangan sebelum diberkas semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 7.18 malam membabitkan kenderaan suspek jenis Isuzu D-Max berwarna perak yang dilihat memandu melawan arus dengan laju dan merbahaya.

Kenderaan itu kemudiannya dikejar MPV peronda polis.

“Siasatan mendapati suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri dari pemeriksaan polis serta memandu secara melawan arus sehingga berlaku kemalangan dengan kenderaan orang awam di tengah lebuh raya.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menjumpai beberapa peralatan disyaki boleh digunakan untuk melakukan kesalahan jenayah pecah rumah dan curi kabel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, semakan lanjut polis juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai sebanyak 24 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan kes narkotik.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek berusia 30 dan 31 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kedua-dua suspek itu kini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari pemeriksaan polis,” katanya.

Siasatan turut diteruskan ke atas mereka mengikut Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil (memiliki peralatan pecah rumah), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu secara berbahaya).-MalaysiaGazette