Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang di Negeri Sembilan nampaknya terus menjadi topik panas ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ia semakin panas apabila penyandangnya daripada MIC mengumumkan tidak bertanding kali ini

Ini kerana selepas MIC memutuskan untuk tidak bertanding, ramai ‘bakal calon’ agak teruja termasuklah pihak lawan daripada gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut sumber, PN mempunyai ‘kelebihan’ dan peluang cerah untuk merampas kerusi DUN tersebut daripada BN kali ini.

Dakwa sumber itu, pertandingan antara Pakatan Harapan (PH) dan PN bukan sahaja sengit di Selangor sebaliknya juga di Negeri Sembilan dengan kebanyakan pengundi termasuklah atas pagar serta pengundi bukan Melayu didakwa mula beralih arah.

“Kerusi ini disandang MIC untuk sekian lama. Kini mereka buat keputusan untuk tidak bertanding. Mungkin kali ini UMNO yang akan bertanding atau Friends of BN akan diletakkan sebagai calon di sini.

“Tetapi terdapat perubahan nyata dalam kalangan pengundi khasnya pengundi India dan juga Cina di Jeram Padang ketika ini. Ada beberapa calon PN yang sudah lama menggerakkan jentera mereka di sini sebelum PRU15 lagi.

“Ada beberapa nama yang telah jadi pilihan antaranya calon bebas, Surash Sreenivasan yang pernah dapat undi besar pada PRN lepas selain anak tempatan yang juga bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch), R. Sri Sanjeevan.

“Kedua-dua mereka dalam PN dan masing-masing sudah bergerak aktif di kawasan sejak beberapa tahun ini. Penduduk setempat juga mengenali mereka. 

“Saya amat yakin, kemenangan akan berpihak kepada kita (PN) kali ini terutamanya di Jeram Padang. Pengundi mahu yang betul-betul buat kerja bukan lagi retorik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan

Dalam pada itu, Sanjeevan ketika dihubungi menegaskan diri terbuka dan tidak kisah siapa menjadi calon.

Beliau dan penyokong akan komited membawa kemenangan besar kepada PN kali ini.

“Saya tidak dengar apa-apa tetapi sebelum menyertai Bersatu lagi saya sudah aktif di Jeram Padang, ini tempat kelahiran saya. Ayah saya sendiri pernah bertanding sebelum ini atas tiket DAP sekitar tahun 90-an. Kepentingan masyarakat di sini amat dekat buat saya dan keluarga.

“Walau apapun keputusan parti, saya akan komited dalam memastikan kemenangan besar di raih oleh calon PN. PN adalah way foward apatah lagi yang lain-lain lebih banyak retorik daripada merealisasikan janji-janji kepada rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, sumber BN pula mendedahkan ada kemungkinan calon yang bakal diletakkan untuk bertanding di Jeram Padang itu dalam kalangan ahli UMNO.

Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif,

“Presiden UMNO akan umum dalam masa terdekat. Yang kami dengar kemungkinan besar bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif  akan menjadi calon DUN Jeram Padang bukannya Friends of BN,” katanya.

Terdapat khabar angin, penggantungan Mohd Salim yang sudah ditarik mewajarkan dirinya diletakkan sebagai calon DUN Jeram Padang.

Pengerusi MIC Negeri Sembilan dan bekas Exco, Datuk L. Manickam memenangi kerusi DUN Jeram Padang pada 2013 dan berjaya mempertahankannya pada 2018 walaupun BN tumbang pada PRU14.

DUN itu mempunyai 51 peratus pengundi Melayu diikuti India sebanyak 36 peratus manakala 10 peratus Cina serta Orang Asli dan lain-lain sebanyak tiga peratus. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast