Empat dalang sindiket antarabangsa penyeludupan tenggiling dan menyogok penguat kuasa direman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. - Gambar ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah menahan reman empat lelaki kerana disyaki terlibat dalam jenayah menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Sumber SPRM memberitahu, SPRM juga berjaya merampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta.

Kata sumber itu, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 50-an ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira 8 malam semalam ketika mereka tampil memberi keterangan.

Sindiket berkenaan ditumpaskan hasil serbuan dijalankan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM menerusi Op Jaguar di sebuah premis di Klang dan di Kuala Lumpur semalam.

Pagi tadi kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan perintah reman ke atas mereka dalam kes tersebut.

Majistret A. Karthiyayini yang meneliti permohonan SPRM telah membenarkan tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Julai 2023.

Manakala seorang lagi suspek berusia 40-an direman selama dua hari sehingga 16 Julai ini untuk membantu siasatan lanjut SPRM.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek tersebut.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.-  MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM tumpaskan sindiket antarabangsa seludup sisik tenggiling

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast