pengarah syarikat bankrap
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua pengarah syarikat telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pada 22 Jun lalu atas dua pertuduhan berasingan di bawah seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 bagi kesalahan memegang jawatan sebagai pengarah syarikat walaupun berstatus bankrap.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkata, berdasarkan kertas-kertas pertuduhan, Mohamad Zahir Abdul Rahman dan Nor Azman Abu Hassan Sha’ari yang masih berstatus bankrap tanpa dilepaskan telah bertindak sebagai pengarah syarikat A K Protection Systems Sdn Bhd.

Menurut SSM, mereka berbuat demikian dengan menandatangani laporan dan penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“Kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hakim Norina Zainol Abidin telah menetapkan 25 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa SSM, Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz dan Najia Abdul Razak, manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh Dir Kheizwan Kamarudin dan Syarifah Nor Asyikin dari Tetuan Manjit Singh Sachdev, Mohamad Radzi & Partners.

“Seksyen 198(1) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan apabila seorang bankrap memegang jawatan sebagai pengarah syarikat secara langsung atau tidak langsung terlibat atau mengambil bahagian dalam pengurusan syarikat tanpa kebenaran mahkamah.

“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM1 juta atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

SSM turut mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil ke atas pengarah yang berstatus bankrap sekiranya didapati terlibat di dalam pengurusan syarikat.

Katanya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah akta yang dikawal selia oleh SSM. – MalaysiaGazette