Thuzar Maung bersama suaminya Saw Than Tin Win. Foto ihsan Human Rights Watch

KUALA LUMPUR- Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) menggesa kerajaan Malaysia meletakkan siasatan penculikan aktivis pelarian Myanmar, Thuzar Maung dan keluarganya sebagai keutamaan.

Thuzar, 46; suaminya Saw Than Tin Win,43; anak perempuan mereka Poeh Khing Maung,16; dan anak lelaki mereka Aung Myint Maung, 21 dan Thukha Maung,17 didakwa telah diculik dari kediaman mereka di Ampang Jaya kira-kira 4.30 petang, 4 Julai lalu.

Berdasarkan laporan daripada saksi dan rakaman CCTV, beberapa orang lelaki tidak dikenali yang menyamar sebagai polis telah menculik keluarga berkenaan selepas memasuki kediaman komuniti berpagar itu.

Thuzar Maung yang turut dikenali sebagai Thu Zar Moung merupakan seorang yang lantang dalam menyokong gerakan pro demokrasi Myanmar.

Beliau merupakan pelarian dan memiliki kelayakan migran di negara ini.

Dalam kenyataannya hari ini, HRW berkata, mereka bimbang keluarga malang itu diculik dalam satu operasi yang telah dirancang rapi dan kini berada dalam keadaan bahaya.

Pengarah Asia HRW, Elaine Pearson berkata, kerajaan Malaysia perlu segera menjejaki kedudukan keluarga berkenaan dan memastikan keselamatan mereka.

Tambahan pula katanya, sahabat dan rakan sekerja mangsa bimbang wanita itu menjadi sasaran pihak yang tidak suka dengan perjuangannya.

Thuzar merupakan pengerusi Komuniti Pelarian Islam Myanmar dan Jawatankuasa Pekerja Asing Myanmar.

Beliau juga bekerjasama rapat dengan pembangkang, National Unity Government.

Thuzar yang memiliki 93,000 pengikut di Facebook sering membuat hantaran mengandungi kritikan terhadap kekejaman junta Myanmar yang berjaya merampas kuasa pada 1 Februari 2021.

Thuzar Maung melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia pada 2015 susulan peningkatan keganasan terhadap Muslim di negara itu.- MalaysiaGazette