Pelakon, Norul Iman Abdul Rahman, 43, atau lebih dikenali sebagai Boy Iman hadir ke mahkmah bagi kes sebutan penipuan pembatalan penganjuran pesta beli belah sempena sambutan Hari Raya, Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) ketika dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 17 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit, Boy Iman dan seorang pengurus syarikat akan mengemukakan representasi dalam masa terdekat untuk menggugurkan kes pertuduhan menipu seorang wanita dalam urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya baru-baru ini.

Peguam Johan Ariff Salim Khan yang mewakili Boy Iman dan Nor Azmi Jantan berkata, pihaknya baharu sahaja dilantik dan memerlukan masa untuk memasukkan representasi untuk kedua-dua anak guamnya.

“Kita mohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim manakala Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin tidak membantah.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan ‘booth’ atau penyewaan tapak Hooray X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Pengadu juga menyerahkan RM1,500 di WTC pada 2.34 pagi pada 19 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Boy Iman berkata, beliau akan melawan demi menegakkan kebenaran.

“Saya tidak bersalah, kalau salah itu lainlah. Saya akan lawan kes ini habis-habisan,” ujarnya. – MalaysiaGazette