KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah lumph dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam empat serbuan yang dilakukan polis di empat premis di sekitar Cheras dan Klang pada 13 Julai lalu.
Dalam serbuan tersebut polis mendapati sindiket tersebut menggunakan menggunakan dadah berkenaan dibalut dengan bungkusan seperti barangan sabun basuh baju, dengan setiap satu seberat lima kilogram (kg), sebelum diedar termasuk ke Sabah dan Sarawak dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, pemeriksaan premis kediaman dan rumah kedai yang diserbu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah seberat 230.3kilogram bernilai RM14.4 juta.
Katanya, ia membabitkan rampasan 56 kg syabu, ketamin (20 kg) dan ekstasi (154.3 kg).
“Jumlah kesuruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 861,335 orang penagih dadah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dan pembekalan dadah sejak awal tahun ini dan bekalan dadah yang dirampas dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui jalan darat.
Menurut Kamarudin, siasatan mendapati tiga suspek yang berumur antara 32 hingga 61 tahun itu menjadikan premis kediaman dan rumah kedai yang disewa sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan.
Kamarudin berkata, ketiga-tiga suspek yang dilibatkan dalam saringan awal air kencing disahkan negatif dadah manakala semakan mendapati salah seorang daripadanya mempunyai sembilan rekod jenayah dan dadah lampau.
Katanya, polis juga telah melakukan penyitaan aset milik sindiket di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X1, kereta Lexus, Perodua Bezza dan Toyota Vios bernilai RM389,166 .
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek direman bermula 14 hingga 20 Julai ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis akan meneruskan pemburuan saki baki ahli sindiket yang masih bebas. .- MalaysiaGazette