Polis merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dan wang tunai pelbagai mata wang daripada lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah pecah rumah.- Foto Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang mempunyai 13 rekod jenayah pecah rumah sekali lagi ditahan polis selepas dipercayai memecah masuk sebuah kediaman di Taman Bukit Kaya, Seremban, Negeri Sembilan pada 2 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditangkap semalam oleh sepasukan polis daripada Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

“Satu laporan polis diterima pada 2 Julai lalu sekitar  2.36 petang berhubung sebuah rumah di Taman Bukit Kaya telah dipecah masuk dan wang tunai serta barang berharga dicuri.

“Jumlah anggaran kerugian lebih kurang RM3,000. Susulan itu pihak polis berjaya  merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dan wang tunai pelbagai mata wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Arifai, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah pecah rumah dan satu rekod dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Dengan tangkapan ini, kami percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah Seremban,” ujarnya.

Bagaimanapun, Arifai memaklumkan, suspek kini direman selama lima hari sehingga Jumaat ini dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat IPD Seremban, Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di talian 012-9654927. – MalaysiaGazette