PUTRAJAYA – Timbalan Setiausaha Agong PKR, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal dikhabarkan bakal diangkat sebagai calon muka baharu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Ayer Tawar, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Sehingga sidang DUN Pulau Pinang dibubarkan pada 28 Jun lalu, kerusi itu telah disandang oleh bapanya, Datuk Mustafa Kamal Ahmad yang juga Setiausaha Pengelola Ahli Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang.
Mustafa menang atas tiket PKR untuk Pakatan Harapan dalam PRU14 yang lalu.
Menjelang proses penamaan calon pada 29 Julai ini, nama Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri itu selaku anak jati Pulau Pinang dijangka bakal menjadi pertaruhan sebagai calon muda PKR untuk mempertahankan kerusi itu terus kekal dimiliki PH kali ini.
Senarai calon-calon mewakili PKR-PH di Pulau Pinang dijangka diumumkan oleh presidennya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hujung minggu ini.
Sumber dalaman parti itu memberitahu, tidak mustahil pemimpin muda berusia 26 tahun itu untuk diangkat sebagai calon di DUN Telok Ayer Tawar menggantikan bapanya kali ini.
Andai kata maklumat itu benar, ia dilihat sebagai kesuburan politik PKR yang membuka ruang kepada anak muda seperti Muhammad Zakwan diangkat sebagai ADUN.
Muhammad Zakwan pernah diangkat sebagai Pengerusi Majlis Perwakilan Ketua Kampung paling muda di Pulau Pinang pada 2019 dan masih memainkan peranan sebagai Bendahari Cabang Tasek Gelugor sejak 2022 selain Exco Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (2022-kini).
Mustafa Kamal pula lebih dikenali ramai sebagai Pak Mus telah bertanding di kerusi DUN Telok Ayer Tawar dalam PRU ke-14 dan menang dengan majoriti 2,203 undi menewaskan calon BN, Zamri Che Ros, Hanif Haron (Pas) dan Lee Thian Hong (PRM). – MalaysiaGazette